Friday, 22 January 2010

Hapuskan Politik Cantas

Sumber : episodeperjuangan.blogspot.com (KP DPP Pusat)

1. Sehari dua ini , sekali lagi PAS dilanda gelora dan kini isu berkait dengan politik cantas atau "cas keting" . Dalam erti kata lain ialah politik saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain dari kalangan anggota sepasukan atau sejamaah.


2. Ianya jelas kelihatan sangat negatif malah bertentangan dengan disiplin dan akhlak berjamaah justeru intima' [ penyertaan ] kita ke dalam jamaah Islam ini adalah untuk mencari keredhaan Allah swt. bukan nama , kedudukan , pangkat dan jawatan.



3. Jawatan hanyalah amanah yang mesti dipikul dengan penuh tanggngjawab . Tiada kebanggaan dari jawatan yang disandang melainkan beban yang akan dipersoal oleh Allah swt kelak . Memahami realiti ini , sewajarnya politik cantas mencantas sesama sendiri tidak berlaku sebaliknya apa yang selayaknya ialah Fastabiqul khairat [ berlumba - lumba membuat kebajikan ].


4. Tindakan saling jatuh menjatuhkan sesama anggota jamaah Islam adalah satu pelanggaran disiplin dan akhlak jamaah yang serius . Ianya dibayangi oleh nafsu yang tidak baik dan dipengaruhi pula oleh unsur yang negatif [ mazmumah ] seperti hubbu Jaah [ gila kemasyhuran ] dan hubbu Riyasah [ gila jawatan ].


5. Apa yang mahu dikejar dalam perjuangan ini sehingga sanggup cantas mencantas ? sedang tugas dan tanggungjawab terlalu banyak untuk dilaksanakan . Gerakan Islam bukan medan untuk mencari kemasyhuran dan bukan pula medan memburu kekayaan . Sayugianya kita bahu membahu bukan siku menyiku dan kita kuat menguat antara satu sama lain bukan cantas mencantas.



6. Jangan kita terpengaruh dengan cara musuh berpolitik dan jangan biarkan nafsu menguasai diri . Berjuanglah dengan tenang dan ikhlas . Hiasi diri dan jamaah ini dengan disiplin , akhlak dan adab berjamaah sebagaimana yang dikehendaki oleh sunnah perjuangan yang diasaskan oleh baginda Rasul saw.


7. Suka saya tegaskan sekali lagi bahawa jawatan adalah beban yang mesti dipikul bukan direbut dan tanggungjawab adalah amanah yang mesti ditunai bukan untuk dibanggakan . Jangan lihat sahabat seperjuangan seperti menjeling ke arah musuh . Jangan biarkan pra sangka mendahului husnu zaan ketika kita menilai sahabat seperjuangan . Kalau hanya berbeza pandangan dan pendapat , tidak seharusnya dibaca sebagai permusuhan sehinggakan mewajarkan kita mencantas atau menjatuhkannya.


8. Sewajarnya kita memperkayakan jamaah ini dengan semangat kasih sayang [ ukhuwwah filah ] , hormat menghormati , harga menghargai , faham memahami malah percaya mempercayai antara anggota sesama anggota demikian juga pimpinan sesama pimpinan . Katakan tidak kepada curiga mencurigai dan hasad dengki atas kejayaan , kemajuan dan kehebatan sahabat seperjuangan yang lain.

9. Andai terdapat sesuatu tindakan anggota yang dianggap membawa kerosakan dan kebinasaan kepada jamaah , kita mempunyai Jawatan kuasa Disiplin parti yang menilai dan menguruskannya . Kita juga ada muktamar di semua peringkat parti untuk mengukur prestasi dan reputasi anggota . Kita juga ada majlis mesyuarat dipelbagai peringkat untuk membuat keputusan . Asaskan segala tindakan melalui prinsip amal Islami yang meletakkan syura sebagai satu mekanisme membuat keputusan dan mengawal parti.

10. Jadilah anggota atau pimpinan jamaah yang baik dan soleh.

a] Suburkan Amal Tarbawi di dalam organisasi jamaah
b] Cernakan kemurnian spiritual sebagai seorang pejuang .
c] Tutup segala ruang buat syaithan menguasai minda
d] Pelihara adab dan akhlak berjamaah .
e] Patuhi peraturan dan tatacara jamaah .
f] Dengar dan taat arahan pimpinan .
g] Utamakan jamaah mengatasi kepentingan diri .
h] Hormati pandangan sahabat seperjuangan
i] Urus konflik dengan bijak , adil , telus dan jujur .
j] Memuktamadkan keputusan melalui sistem syura

No comments: