Thursday 24 December 2009

TOKOHKU : Dato’ Profesor Zulkifli Muhammad(1927 – 1964)

SUMBER : Internet

SUNTINGAN : aidilbalsus



Butir diri:

Nama penuh: Zulkifli bin Muhammad

Tarikh lahir: 22 Mac 1927 bersamaan 19 Ramadhan 1345 M

Tempat lahir: Kampung Kota Lama KIri, Kuala Kangsar, Perak.

Adik beradik: 10 orang

Pekerjaan: Ahli Parlimen Kawasan Bachok, Kelantan

Meninggal: Pada 6 Mei 1964 dalam kemalangan jalan raya dunia

di Kuantan ketika berusia 37 tahun.



Pendidikan

- Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Parit hingga tamat Darjah 5.

- Melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Rakyat 'Madrasah Azizah' sehingga tahun 1937.

- 1940, memasuki Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Lumpur.

- 1947, melanjutkan pelajaran ke Universite AL-Azhar, Mesir. Seterusnya ke American University, Mesir.



Anugerah yang diterima:

- Mendapat gelaran 'Profesor' dari Universitas Walgading, Indonesia sewaktu beliau berkhidmat di Kolej Islam, Kelang.

- Beliau dianugerahi Pingat Dato' Paduka Mahkota Kelantan pada 11 Julai 1964.



Kegiatan:

- 1951 Penasihat Lembaga Pembangunan Sastera, Perak.

- 1954 Setiausaha Kolej Islam Malaya di Kelang.

- 1955 Ketua bahagian politik dalam Kongres Pemuda Melayu Malaya. Pensyarah Kolej Islam Malaya di Kelang.

- 1955 Menyertai pilihan raya Kawasan Parlimen bagi kawasan Kelang.

- 1959 Menyertai pilihan raya Kawasan Parlimen bagi kawasan Bachok, Kelantan.

- 1959 Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Islam Se-Tanah Melayu.



Jasa dan sumbangan.

- Menentang keganasan komunis kawasan Kuala Kangsar.

- Menentang Malayan Union.

- Aktif dalam bidang penulisan, menghasilkan tulisan untuk Majlis, Mastika, Qalam dan Hiburan.

- Penggerak Penubuhan Kolej Malaya di Kelang (1953), Penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (1965).

- Memberi perhatian dengan masalah Bahasa Melayu dan Penubuhan Dewan Bahasa bersama Pendeta Za'ba.

- 1959-1964 Ahli Parlimen kawasan Bachok.



Sumbangan kepada Gerakan Islam: Ahli Parlimen yang BerjayaSepanjang tahun 1959 hingga 1964 penglibatan Zulkifli Muhammad paling menonjol sebagai seorang Ahli Parlimen. Beliau menggunakan seluruh peluang yang ada sebagai seorang wakil rakyat bagi menyuarakan pandangannya dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan masyarakat.Beliau merupakan wakil rakyat yang sentiasa berada dalam dewan pada setiap persidangan. Sama ada persidangan berjalan selama satu minggu atau dua minggu atau sebulan mahupun dua bulan, Zulkifli Muhammad tetap berada dalam persidangan tersebut. Demikian juga, sama ada persidangan berakhir pada pukul 6:30 petang atau pukul 10:00 malam atau pukul 1:00 pagi, Zulkifli Muhammad tetap berada sehingga akhir persidangan.



Zulkifli Muhammad mencatat sejarah apabila berucap selama empat jam di Dewan Rakyat berhubung dengan Rang Undang-undang Malaysia.Di sidang Parlimen, beliau mendesak supaya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menarik balik pengiktirafan ke atas negara Israel kerana kewujudannya telah menafikan hak rakyat Palestin.Zulkifli Muhammad juga menyarankan agar kerajaan persekutuan menghantar memorandum ke PBB membantah tindakan ganas Perancis ke atas Algeria.Di sidang Parlimen juga Zulkifli mencadangkan supaya kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan sebuah komanwel negara-negara Islam.



Zulkifli Muhammad juga bercakap tentang membanteras amalan rasuah, menggalakkan masyarakat desa terlibat dalam industri kecil, ancaman getah tiruan dan memajukan industri getah tanah air serta pembangunan bandar agar tidak tertumpa di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya semata-mata.Zulkifli Muhammad sering secara tajam di Parlimen menyeru agar kerajaan wajib berhemah dan berhati-hati dalam menggunakan wang negara. Beliau mahu tidak sesen pun wang negara dikeluarkan secara sia-sia. Ini kerana menurutnya, wang negara adalah wang hasil titik peluh rakyat.Oleh yang demikian tidak hairanlah bila dia dipilih sebagai anggota dalam Jawatankuasa Kewangan Negara. Pandangan dan syor-syor yang telah diberikan semasa menganggotai jawatankuasa tersebut amat berguna kepada kesejahteraan negara.



Zulkifli Muhammad juga berhujah panjang lebar menyeru kerajaan agar meningkatkan usaha menaikkan status Islam memandangkan sikap liberal UMNO dalam persoalan agama Islam.Pernah seorang ahli Parlimen Perikatan dari Pahang secara rahsia menemui Zulkifli Muhammad meminta beliau menyuarakan hak istimewa bangsa Melayu dalam sidang berikutnya. Ini kerana tidak ada ahli Parlimen yang mampu berucap selantang Zulkifli Muhammad apabila menyentuh kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini.



Ketika Tun Abdul Razak merayu agar Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau ISA pada tahun 1960, Zulkifli Muhammad dan ahli-ahli Parlimen PAS memberi amaran bahawa akta seumpama itu amat mudah disalahguna demi kepentingan politik UMNO-Perikatan.Ternyata amaran tersebut menjadi kenyataan apabila ribuan aktivis politik pembangkang termasuk ahli-ahli Parlimen PAS seperti Nik Abdullah Arshad dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy sendiri ditahan kemudian di bawah akta tersebut.Dengan kelantangannya inilah, Zulkifli terkenal sebagai seorang pemimpin PAS dan di antara Ahli Parlimen yang terulung pada zamannya.



PemergiannyaZulkifli Muhammad meninggal dunia bersama isterinya dalam satu kemalangan jalan raya yang ngeri dekat Kuantan.Kematian mereka berlaku di tengah-tengah kesengitan persengkataan politik di antara PAS dengan UMNO. Bahang kempen pilihanraya 1964 pun masih belum reda. Zulkifli Muhammad baru saja menang mempertahankan kerusi Parlimen Bachok bagi penggal kedua. Berbagai tanggapan dan sangkaan muncul ketika itu. Untuk mengelakkan desas-desus ini Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia terpaksa membuat ucapan dalam Dewan Parlimen menerangkan kematian Zulkifli Muhammad bukannya kerana angkara perbuatan khianat. Kata Tunku Abdul Rahman, ianya adalah satu tragedi kemalangan dan takdir Tuhan.Berita kematian Zulkifli Muhammad dan isterinya disiarkan menerusi Radio Malaysia pada pukul 10:00 pagi, 6hb Mei 1964.Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak mengarahkan jenazah Zulkifli Muhammad dan isterinya diterbangkan dengan kapal terbang khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari lapangan terbang Kuantan ke lapangan terbang Ipoh. Dari lapangan terbang Ipoh jenazah dibawa dengan kereta mayat Jabatan Ugama Islam Perak ke rumah bapa Zulkifli Muhammad di kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.



Pada hari pengkebumian jenazah Zulkifli Muhammad dan isterinya, lebih dari 10,000 orang termasuk pemimpin-pemimpin negara, para duta negara asing, rakan-rakan seperjuangan, ahli-ahli UMNO dan orang ramai membanjiri tanah pusara tempat mereka disemadikan.Karya PenulisanZulkifli Muhammad telah menghasilkan tiga buah buku:· Masyarakat dan Syariat· Analisa tentang Beberapa Masalah Hidup· Pegangan Hidup Umat IslamPegangan Hidup Umat Islam ditulis oleh Zulkifli ketika terlantar selama lapan bulan di hospital sekembalinya dari Mesir.



Sepanjang tahun 1945-1947 Zulkifli turut melahirkan idea-idea kreatif yang progresif melalui sajak-sajak yang diterbitkan dalam majalah-majalah tanah air seperti Medan Masyarakat, Mastika, Qalam, Penghidupan, Hiburan dan Pembangunan. Sajak-sajaknya berunsurkan semangat kebangsaan yang kental diadun dengan tuntutan Islam yang kukuh dan mendalam.Selain daripada itu, Zul juga banyak menghasilkan tulisan yang berupa rencana seperti:· Falsafah Akhlak dalam Islam· Umat Islam Sekarang Makin Mundur· Peranan Filem dalam Masyarakat· Economic Justice· Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan IslamPejuang Bahasa Melayu Bagi memastikan bahasa Kebangsaan terus berkembang pesat, Zulkifli Muhammad menyeru supaya kerajaan menyegerakan pembinaan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.Zulkifli Muhammad menyokong cadangan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai satu institusi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu.



AnugerahUsaha Zulkifli Muhammad dalam penubuhan Kolej Islam Malaya telah mendapat pengiktirafan daripada Universitas Sawerigading (UHSA), Indonesia yang telah menganugerahkannya gelaran Profesor Kehormat pada 15 Julai 1957.Bagi mengenang jasanya, Tuanku Yahya Petra, Sultan Kelantan berkenan menganugerhkan bintang Dato’ Paduka Mahkota Kelantan (D.P.M.K.) yang membawa gelaran Dato’ kepada Zulkifli MuhammadNamanya diabadikan pada sebuah dewan di Kota Bharu, Kelantan. Dewan yang dinamakan Dewan Zulkifli Muhammad itu terus menjadi tempat yang penuh keberkatan kerana pelbagai majlis ilmu secara berterusan dianjurkan di situ.

2 comments:

Khabir Shuhaimi said...

Wah hebat tokoh nta..

Khabir Shuhaimi said...

Salam..

Wah hebat tokoh nta..